Sunday, November 22, 2009

Setiap fasa ada susah dan senangnya

Rasanya sudah terlalu lama saya tidak mengupdate sebarang entri. Sampaikan dah bersawang rasanya. Bukannya tiada kisah untuk saya kongsikan bersama tapi mungkin sejak kebelakangan ini saya dilanda dengan kesuntukan masa untuk menghasilkan entri..(ceh...macam sibuk sangat je kan..)

Alhamdulillah buat masa ini, saya baru sahaja menempuhi satu fasa yang baru iaitu fasa kerjaya. Fasa yang perlu untuk saya memikirkan segala bagai perkara termasuklah dari segi pengurusan kewangan untuk keluarga, masa untuk diri sendiri dan masa untuk memberi komitmen yang terbaik kepada pihak majikan dan orang di sekeliling. Semuanya perlu difikirkan untuk kebaikan diri sendiri juga.

Pada mulanya pening juga kepala memikirkan untuk menentukan halatuju bidang kerjaya yang hendak dipilih. Maksudnya saya pening untuk memilih antara bekerja dengan firma kontraktor atau firma perunding ukur bahan. Mujur saya mendapat nasihat dari abang saya yang banyak memberi garis panduan di mana mengikut pendapatnya

Pemilihan berikut mungkin boleh menjadi justifikasi dan garis panduan :

1. Big salary + Bonus + Allowance
2. Working Environment
3. Distance from home (kos minyak)
4. Performance of company
5. etc.

Contractor or Consultant not become a problem as long as scope of work in Ur area. T.Q

Ini adalah garis panduan yang diberikan oleh abang saya. Dan saya rasa, faktor pemilihan saya adalah tertumpu kepada semua bahagian. Kadang-kadang kita perlu menjadi seorang yang tamak kerana perkara sebegini adalah penentu untuk kehidupan kita masa akan datang. Bukannya kita hendak bekerja sehari dua tetapi ia melibatkan sepanjang hayat kita untuk memberi khidmat kepada orang lain. Sebab itu saya katakan kadang-kadang kita juga perlu menjadi seorang yang tamak.

Apa yang saya harapkan, saya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja yang baik, anak yang baik dan kawan yang baik dalam lingkungan kakitangan di pejabat dan di luar pejabat. Alhamdulillah setakat ini banyak yang memberi tunjuk ajar. Terima kasih. Saya juga tidak kisah ada yang sering mengatakan tempat lain kita boleh mendapat tawaran yang lebih tinggi tetapi itu bukan keutamaan saya sebabnya bagi saya, selagi kita boleh belajar sesuatu yang berharga di tempat kerja, selagi itu kita dapat meningkatkan nilai dalam diri kita. Gaji tinggi tetapi jika tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja yang baik juga adalah satu masalah bagi saya sebabnya kerja yang halal juga adalah sebahagian daripada ibadah.

Bukan senang untuk berada di kedudukan yang selesa. Saya selalu mengingatkan diri sendiri bahawa untuk berada di kedudukan yang selesa, kita perlu bekerja keras. Bukan hanya datang kerja, sign in dan tiba masa balik kita dah bersedia untuk sign out di punch card.Bekerjalah selagi kita boleh meningkatkan produktiviti yang baik untuk dihasilkan kepada semua orang.


Thursday, November 12, 2009

Pakcik, nak mengata kena ada asas!

Gambar contoh diambil di sini

Memandangkan malam ini malam Jumaat, rasanya lebih elok kiranya saya dapat berkongsi pengalaman dan ilmu agama ini bersama kalian. Bukan niat untuk membuka pekung dalam keluarga sendiri tapi jadikan ianya sebagai pengajaran supaya kita yang berada di dunia senang dan orang yang telah meninggalkan kita juga berasa aman di sana.

Setiap hujung minggu, saya dan emak pasti akan menziarahi pusara ayahanda. Kalau tidak sempat membacakan yasin, kami hanya membacakan al-fatihah dan membersihkan apa yang patut di kawasan pusara ayahanda. Setiap kali selepas menziarahi pusara, saya akan singgah sebentar di rumah pakcik kerana kawasan perumahannya berhampiran dengan pusara ayahanda. Biasanya, kalau singgah di rumah pakcik, kami lebih bercerita mengenai hal-hal keluarga sahaja. Terima kasih kepada pakcik (abang kepada emak) yang sentiasa sudi berkongsi pendapat dengan saya.

Dalam kerancakan berbual, tiba-tiba pakcik saya bertanya, berapa kos untuk membuat pusara ayahanda. Saya menjawab sekian dan sekian. Memang saya akui, saya yang memilih bentuk pusara itu setelah berbincang dengan emak dan adik beradik lain serta setelah bertanya pendapat kepada seorang ustaz yang mengajar saya sewaktu di kampus. Pusara ayahanda hanya ditutupi dengan rumput jenis carpet dan dua nisan sebagai pengenalan pusara arwah. Bentuknya memang cukup ringkas kerana itu yang dipersetujui setelah kata sepakat antara adik beradik diambil.

Alangkah terkejutnya apabila tiba-tiba pakcik saya membuka cerita yang menyatakan pakcik (adik arwah bapa) berjumpa dengannya dan menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila kubur arwah hanya dilakukan sebegitu. Dia seolah-olah marah kerana ada mengungkit tentang duit pembahagian antara adik beradik arwah, hanya dilakukan sebegitu rupa sahaja! Ya Allah, saya mula berfikir apakah tindakan saya salah?. Saya ambil tindakan untuk diam dahulu. Malas untuk membantah kerana bimbang dikata saya mula menunjukkan sikap kurang ajar kerana dia pernah mengherdik sepupu saya yang lain berkenaan pelajaran juga.

Saya ambil teguran itu sebagai positif. Untuk menjelaskan kepadanya, saya perlu ambil masa juga sebab dia (pakcik) seorang yang baran juga. Bimbang perkara lain pula terjadi. Katanya kepada pakcik saya yang satu lagi, kenapa tidak dibuat bertingkat dan pasang jubin atau marmar di pusara arwah ayahanda saya. Tak mungkin perkara itu saya lakukan! Sebabnya akan lebih menyeksakan arwah pula. Fikir saya, kalau dibina dari konkrit, tidak mungkin konkrit itu akan mendoakan arwah tapi ustaz saya kata, kalau kita membina dengan menanam tumbuhan di pusara, InsyaAllah, tumbuhan hidup itu sentiasa berzikir untu arwah. Mungkin memang betul, jika pusara dibina seperti gambar di atas itu, akan lebih cantik dan nampak gah tetapi lebih elok lagi jika duit yang ada kita gunakan untu perkara kebaikan yang lain. Itu lebih berfaedah.

Marah dan teguran pakcik saya tidak berasas langsung. Jika dia seorang yang memahami situasi dan hukum untuk arwah, dia tidak akan berkata sebegitu kerana

Larangan dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam:

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

“Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.”

(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Dan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga..

Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah subhanahuwata’ala.

Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi.

Sudah jelas dinyatakan membina kubur dari bahan marmar adalah haram hukumnya. Saya perlu menjelaskan kepadanya cuma saya tunggu dari pertanyaannya sendiri kepada saya. Bukan bererti ita yang muda tidak boleh menegur yang tua, asalkan teguran itu ada asas dan bukti yang kukuh. Sebabnya ini semuanya melibatkan persoalan berkaitan hukum.

Gambar penghargaan di sini

Tidak penting kubur itu cantik atau tidak asalkan amalan kita di dunia sentiasa "cantik" untuk kita bawa bekalan di alam sana. Jika amalan kita "cantik", insyaAllah kubur kita juga akan kelihatan serinya. Jika tidak boleh menerima hakikat bahawa bina kubur seperti dua gambar di atas adalah haram, terpulanglah pakcik. Rumah sudah kata pergi, kubur dah pun memangil-manggil come on bebeh..

Wallahu'alam

Tuesday, November 10, 2009

Tak tepati janji juga dikira menipu bukan?

Baru-baru ini semua blogger hangat menceritakan berkenaan seorang teman blog yang menipu kami hidup-hidup. Mungkin semuanya berasa kecewa dengan sikapnya. Saya akui, blognya memang saya akan kunjungi bilamana ada entri terbaru kerana entrinya begitu terkesan sekali. Saya tak nak ulas lebih lanjut tentang perkara itu sebab rasanya tak perlu selagi tiada penjelasan darinya walapun bukti-bukti yang kukuh telah diperolehi.

Cuma saya nak ingatkan kepada blogger2 lain, kita jangan mudah untuk mempercayai orang lain sebabnya boleh jadi blogger yang sedia ada juga menipu. Sebab apa saya kata begitu? Sebab saya juga alami..walaupun tidak menipu identitinya tapi kalau tidak menepati janji juga dikira menipu juga bukan?

Saya pernah memasuki pertandingan yang ada di kalangan blogger adakan dengan tujuan untuk memeriahkan blognya. Seingat saya, saya pernah memasuki tiga contest yang diadakan oleh tiga orang blogger yang berlainan. Janjinya untuk memberi hadiah hanyalah sia-sia sahaja. Bukan hadiah yang saya harapkan..kadang-kadang saya memasuki contest tersebut hanyalah sekadar suka-suka dan untuk memeriahan blog mereka tetapi jika tidak mampu untuk memberi sebarang ganjaran, jangan berjanji dengan peserta yang memasuki contest. Sebab jika sudah berjanji tapi tidak ditunaikan juga merupakan satu perbuatan yang menipu.Saya tak pasti ada blogger yang lain menghadapi situasi yang sama macam saya atau tidak cuma sedikit terkilan bila mereka tidak menepati janji. Walaupun sekali niat untuk menaikkan rating blog anda, jangan sampai orang lain anda tipu untuk kepentingan diri anda.

Dalam dunia yang serba canggih ini, apa-apa boleh terjadi..kita sebagai manusia yang waras, bertindaklah mengikut akal, menilailah orang dari semua aspek, jangan menilai dari satu sudut sahaja. Kita tak ke mana. Bukan di sini tempat kita sebenarnya..tempat kita sudah sedia menanti di alam akhirat. Cuma kita perlu bersedia sahaja. Siapa kita sebenarnya sudah dinilai oleh dua malaikat yang menjaga ita kiri dan kanan.

Hidup dengan jadi diri sendiri adalah lebih indah lagi. Saya tak marah kepada sesiapa cuma sedikit kecewa dan terkilan sahaja.

Friday, November 06, 2009

Love is F.L.O.W.E.R

Sejak kebelakangan ini, saya asyik memikirkan apa sebenarnya makna Love atau Cinta. Bukan bermakna saya dilamun cinta cuma entah mengapa fikiran saya sering mempersoalkan anugerah cinta ini.Mungkin semua orang ada pandangan yang berbeza mengenai maksud ini. Tapi bagi saya Cinta boleh diibaratkan seperti bunga. Ianya harus sentiasa dibajai, disiram dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang supaya ianya sentiasa harum mewangi..


Dalam minggu yang lepas, saya mendapat mesej dari seseorang yang mendoakan supaya saya mati cepat agar sesiapa sahaja tidak boleh memiliki dan mendampingi saya. Saya rasa pengirim sms itu seorang yang penakut kerana tidak menggunakan nombor telefon bimbitnya sendiri. Alahai...saya bukanlah seorang yang bodoh dan saya bertindak untuk mendapat bantuan sahabat saya untuk mengenalpasti siapa pengirimnya.Akhirnya saya tahu juga! Tu la...kan senang pakai no sendiri.

Saya tak faham apa yang dikehendaki olehnya. Setahu saya, saya berkawan dengan semua orang cuma cara layanan saya mungkin ada yang terkurang. Tapi bila saya mendapat mesej sedemikian, saya jadi terfikir sebentar kerana selepas saya mendapat tahu siapa pengirimnya, saya cuba menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Rupanya, ada perasaan yang tak sempat diluahkan kepada saya. Ermm..no komen!

Itulah..perasaan yang ada kalau tidak diluahkan, ianya tidak akan membibitkan perasaan cinta antara satu sama lain. Walau kita mengimpikan puteri atau putera raja tetapi tidak disampaikan, maka hajat kita tidak akan kesampaian sampai bila-bila. Cinta! Ya, ianya seperti bunga...untuk memastikan ianya sentiasa mekar dan mewangi, ianya harus sentiasa dibajai, disiram, dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang. Tanpa elemen itu, cinta akan layu ibarat bunga juga...

Perasaan cinta tak boleh dipaksa-paksa. Oleh itu, jangan paksa saya!

Tuesday, November 03, 2009

Dedikasi


Benih kalau berasal dari baka terbaik akan bercambah walau dicampak ke mana sekalipun........

Untuk bonda dan ayahanda
Yang telah menyemai benih ketaqwaan
Ditujukan khas buat ibunda yang disayangi Pn.Hajah Hindun Binti Mimfari, ayahanda yang dihormati dan disanjungi, Allahyarham Hj. Maskur Bin Atmom,
Jasa kalian berdua sentiasa diabadikan di sanubari...

Abang Masdun Hidayat dan kak Wariya, abang Saifuddin dan kak Mahani, kak Rizkiyah dan abang Redzuan, kak Hartati dan abang Zulfikri serta adik Siti Halimah..
Doa dan semangat kalian menjadi tunjang kejayaan ini

Anak-anak buah pakchu, Kamaruzzaman, Nuzula Auliaurrahmah, Arif Hidayatullah, Nur Afiqah, Ammar Hakimi, Muhammad Aqil Haziq,Nur Afifah Mahirah, Amsyar Harith, Amzar Hasif dan Akif Hadif
Kasih sayang kalian tetap tak berbelah bahagi....

Buat rakan-rakan yang sudi berkongsi suka dan duka..
Man,Cra,Mansor,Dya,Zairol,Tirah,Mira,As,Anis,
Chah,Apis,Is,Q,Choq,Ifney dan rakan-rakan yang lain..
Moga ikatan persahabatan ini akan kekal selamanya.

Buat "sahabat" yang pernah menyayangi dan mengkritik saya, Terima kasih segalanya...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails