Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, September 29, 2009

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri buat semua. Maaf sejak kebelakangan ini saya dilanda kesibukan yang amat untuk mengupdate blog menjelangnya hujung bulan oktober akan datang ini. Doakan semuanyaberjalan dengan lancar. Saya tinggalkan kalian dengan suasana raya bersama Anuar dan Ellina =)

Friday, September 11, 2009

Kenangan Ramadhan

Tanpa kita sedari, tinggal beberapa hari sahaja Ramadhan akan meninggalkan kita.Bulan yang penuh berkat ini belum tentu kita dapat nikmati dan rasai pada masa akan datang. Belum tentu juga kita dapat mencipta kenangan di bulan ini.Ya, bercerita mengenai kenangan di bulan Ramadhan, aku juga mempunyai kenangan. Kenangan yang membuatkan aku sebak sendirian bila mengingatinya.

Melalui Ramadhan kali ini membuatkan aku sebak. Tidak seperti Ramadhan yang lalu..kali ini kami sekeluarga menyambut Ramadhan tanpa seorang bapa tercinta untuk sama-sama menjalani kewajipan rukun yang ketiga ini.Sungguh! aku jadi pilu bila mengingatkan kenangan lalu..Kami bersahur, berbuka dan menjalankan solat terawih bersama.Aku terlalu rindukan kenangan itu bila mana aku membonceng motor bersama bapa untuk menunaikan solat terawih yang kadang kala diimamkan oleh golongan muda belasan tahun. Selesai terawih pasti bapak meluahkan perasaan bangga terhadap imam muda tersebut. Sekarang, aku menunaikan solat terawih hanya bersendirian. Kadang-kadang pergi bersama emak dan kadang-kadang aku membawa Hakimi.Sekurang-kurangnya si kecil itu sudah ada pendedahan awal di masjid.

Ketiadaan bapa membuatkan aku lebih tabah untuk menghadapi hari-hari mendatang. Ajaran bapa selama ini menjadi panduan untuk aku tempuhi sebagai seorang anak lelaki dalam keluarga dan juga sebagai ketua keluarga suatu hari nanti. Menjelang Ramadhan terakhir, aku masih ingat bagaimana bapa mengajarku untuk urusan membayar zakat. Kebiasaannya bapa tidak membayar zakat di masjid tetapi bapa lebih suka untuk mencari golongan fakr miskin dan zakat diberikan kepada mereka.

Menjelang Aidilfitri di akhir-akhir Ramadhan ini juga membuatkan aku teringat kenangan apabila bapa sendiri yang memotong rambutku supaya kelihatan segak di pagi raya. Semangat bapa menganyam ketupat setiap tahun untuk menjamu anak-anak yang pulang ke kampung juga masih kuingat.Apatah lagi senyum riang bapa apabila menyambut kepulangan cucu-cucunya pulang ke kampung.

Kenangan ketika usai menunaikan terawih bersama.Adik, arwah bapa, aku dan emak.

Sungguh! walaupun kenangan itu hanya tinggal kenangan, tapi aku yakin kenangan itulah yang membuatkan aku semakin kuat dan pandai berdikari untuk hari-hari yang mendatang.

Hari ini (malam tadi), seorang lagi bapa saudaraku pergi menyahut seruah Ilahi.Perginya takkan kembali lagi sepertimana perginya bapaku buat selama-lamanya dan pasti Aidilfitri tahun ini mencipta lagi satu kenangan yang sungguh memilukan. Sungguh sebak apabila melihat jenazah dimasukkan ke dalam lubang kubur yang pastinya kita juga akan ke sana. Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.

Al-fatihah untuk arwah bapa dan pakcik dan mereka-mereka yang telah kembali ke rahmatullah.Seeloknya, Ramadhan terakhir ini kita perbanyakkan amal kerana belum pasti kita akan nikmati suasana Ramadhan pada masa akan datang...

Hanya berkongsi kenangan Ramadhan bersama kalian untuk memeriahkan blog seorang sahabat-Jard.com.

Thursday, September 10, 2009

Tawaran Ramadhan


Jom pakat ramai-ramai mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadhan.Moga-moga kita semua perolehi keberkatannya.

Tuesday, September 08, 2009

Iklan Jawatan Kosong

Berurusan di pejabat fakulti, saya terpandang satu iklan di papan kenyataan. Mudah! Tidak perlu pengalaman. Hanya perlu menjaga solat dan membaca al-Quran. Ada siapa yang berminat?

Kalau la semua iklan jawatan kosong syaratnya sebegini, pasti semua pelajar mengambil serius untuk menunaikan solat dan memasuki kelas mengaji.

Mungkin ada yang tak percaya ini satu iklan yang rasmi sebabnya hanya menggunakan tulisan tangan tetapi ini adalah benar kerana ianya ditulis sendiri oleh pensyarah di fakulti.

Monday, September 07, 2009

Salah saya?Mungkin!

Minggu ini saya perlu bersiap sedia untuk menghantar draft tesis kepada penyelia.Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.Gara-gara memo yang dikeluarkan panel menyatakan pelajar perlu menghantar draft tesis pada 16 September kepada penyelia masing-masing, membuatkan pelajar menjadi kelam kabut. Bila difikirkan semula, ada baiknya juga menghantar awal.Sekurang-kurangnya boleh menikmati suasana raya dengan tenang.

Pengalaman semasa mendapatkan responden kadang-kadang membuatkan saya tersenyum sendirian. Dari penduduk, pemaju sehinggalah perbadanan pengurusan bangunan kediaman pasca tingkat saya temui.Pelbagai ragam dan layanan. Dan salah satu responden yang membuatkan saya teringat apabila saya dilayan oleh seorang staf wanita yang bekerja dengan pihak pemaju.

Saya mengetuk pintu pejabatnya.Sebelum saya ke pejabat tersebut, saya sudah mengkaji latar belakang syarikat tersebut terlebih dahulu di mana organisasinya kebanyakan terdiri dari bangsa cina.

Selepas dibenarkan masuk, saya memberi sapaan 'hello and good morning' dan saya mula speaking dengannya dengan menyatakan tujuan saya datang ke situ. Sapaan saya itu dibalas. Memandangkan raut wajah wanita tersebut seperti cina dan kebetulan dia memakai skirt paras atas lutut dan mengenakan pakaian yang agak seksi, saya memanggilnya dengan panggilan Ms. Ann dan membahasakan diri sebagai 'i' dan 'u' sahaja sebagai pengganti nama diri.

Sedang saya rancak mengajukan soalan kepadanya, tiba-tiba saya ditegur olehnya.

"Dik, kalau nak berurusan, bagilah salam terlebih dahulu.lagipun kita kan orang Islam dan bulan ni kan bulan puasa, panggil saya akak pun takpe, tak perlu guna ganti nama 'i' dan 'u'".

Saya diam dan terkedu.Saya terima tegurannya. Mungkin dia tidak selesa atau biasa dengan penggunaan bahasa seperti itu.Bagi saya, saya dah cukup fomal ketika berurusan dengannya.

Selesai berurusan dengannya, saya terus memandu untuk berjumpa dengan responden yang lain.sepanjang perjalanan, saya memikirkan teguran itu. Adakah saya yang bersalah tidak memberi salam? Jawapannya saya tak pasti sebab melihat penampilannya seperti orang cina, saya tidak memberi salam tetapi saya memberi ucapan selamat pagi sebagai pengganti salam. Tambahan pula nama samarannya seperti orang bukan Islam juga. Rupa-rupanya nama sebenarnya adalah Suzana dan dipanggil Ann.

Fikir saya lagi. Saya tahu iman seseorang tidak boleh diukur melalui perwatakan dan penampilan tetapi kan lebih manis jika kita nak tegur seseorang supaya memberi salam, penampilan kita selari dengan penampilan orang Islam. Baru tampak lebih manis lagi untuk berbicara soal adab memberi salam ketika berurusan.

Apa-apa je la. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada Puan tersebut yang telah memberi kerjasama kepada saya untuk menjayakan kajian saya.

Thursday, September 03, 2009

Agama kita syumul, cuma kita yang malas!

Saya masih ingin berkongsi kisah saya semasa di Kelantan. Kisah yang berlaku semasa saya berada dalam train untuk menuju ke Tanah Merah. Selepas menidurkan seorang anak saudara, (yang seorang lagi mak saya yang tidurkan) saya lepak di bahagian pintu train sambil membaca buku "Di Atas Sejadah Cinta" hasil penulis terkenal iaitu Habiburrahman el-Shirazy. Sengaja saya baca berulang kali kerana saya suka cerita motivasi sebegitu. Sedang asyik saya duduk di bahagian pintu train sambil membaca, saya ditegur seorang lelaki cina.

Dia : U mau turun mana?

Saya : Tanah Merah..u?

Dia : Tumpat

Saya : Balik kampung ke?

Dia : Bukan, saya mahu bawa anak-anak saya sembahyang di sana.

Saya : O..saya ingat u balik kampung cuti sekolah macam ni.

Dia : Kampung saya di JB saja. Saya mahu anak-anak saya minta pada Tuhan.

Saya : Bila balik JB semula?

Dia : Malam esok balik semula.

Saya terfikir. Sedangkan orang yang bukan beragama Islam sanggup dan semangat pergi ke tempat sembahyang mereka semata-mata ingin berjumpa Tuhan mereka, kita yang beragama Islam hendak menunaikan solat di masjid atau surau sebelah rumah pun susah nak lakukan. Padahal Islam itu syumul, Tuhan kita (Allah) ada di mana-mana saja. Bukan susah hendak meminta dan berdoa.Cuma kita saja yang malas lakukan.

Tuesday, September 01, 2009

Berpuasalah walau di mana saja


Berpuasa di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun ini merupakan pengalaman yang manis bagi saya.Lebih-lebih lagi dapat berpuasa bersama keluarga akak di Tanah Merah dan keluarga angkat di Kuala Krai.Bukan saya tak pernah berpuasa di Kelantan tapi semasa belajar di Kelantan, juadah berbuka puasa semuanya dibeli. Tapi kali ini lain..juadah berbuka puasa disediakan bersama-sama.Itu yang menjadikan Ramadhan kali ini lebih nikmat.Apatah lagi buat pertama kali saya melakukan ibadah puasa bersama keluarga angkat di Kuala Krai.

Sebelum tu, walau dah terlewat sehari, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI KEBANGSAAN YANG KE 52. Moga sambutan kemerdekaan pada bulan barakah ini memberi kita impak yang positif untuk sama-sama kita bersyukur ke hadrat Ilahi.

Berbalik semula cerita saya di Kelantan.Satu cerita yang tak seronok untuk dibaca sebenarnya.Tapi memandangkan saya tiada entri terbaru, saya cerita juga pengalaman berpuasa selama lima hari di negeri Cik Wan Siti Kembang itu. Puasa di negeri orang tiada bezanya dengan berpuasa di negeri sendiri.Yang membezakan mungkin suasana berbuka dan juadah berbuka.Di sana, saya boleh jumpa dengan pelbagai jenis kuih.Kadang-kadang jadi malu juga bila adik-adik saya bertanya tentang sesuatu nama jenis kuih.Saya hanya mampu mengangkat bahu menandakan saya tidak kenal kuih-kuih yang dihidangkan itu.Yang saya kenal kuih di Kelantan adalah kuih akok sebab kuih akok ada kenangannya.

Dan kenangan yang paling manis bila saya belajar memasak bersama mama angkat. Perghh..memang seronok bila belajar memasak ikan patin masak gulai tempoyak dan buat kuih sira roti.Siapa kata lelaki tak boleh masuk dapur?Saya fikir zaman sekarang lelaki perlu masuk dapur sebabnya zaman sekarang susah untuk berjumpa dengan perempuan yang pandai memasak lebih-lebih lagi zaman sekarang, perempuan lebih mengejar kerjaya.(Eh..maaf..saya tak kutuk pon kaum hawa cuma nak jelaskan bahawa lelaki perlu juga tahu memasak untuk sama-sama membantu kaum hawa memasak bila berumahtangga nanti.Betul tak?)

Jika di Kelantan, kuih muih tidak menjadi masalah di sana kerana jiran tetangga masih mengamalkan aktiviti bertukar-tukar juadah sesama mereka dan juga aktiviti menjamu jiran tetangga untuk berbuka bersama juga masih diamalkan di sana. Itu yang saya kagum sebabnya selain dapat mengeratkan silaturrahim, ianya juga untuk mendapat keberkatan Ramadhan al-mubarak.


Sungguh! saya teruja sewaktu aktiviti menjamu jiran tetangga untuk berbuka bersama. Cuma yang membuatkan saya terfikir, apabila menunaikan solat terawih di masjid, saf hanya dipenuhi dengan golongan warga emas sahaja.Barangkali anak-anak muda ramai yang merantau di negeri orang.Itu yang saya fikirkan. Seusai menunaikan solat terawih dan moreh bersama jemaah masjid, lain pula yang saya nampak apabila ramai pula anak kampung yang duduk melepak sedang menonoton tv sambil memakan colek di sebuah warung.

Saya tidak berjalan sangat semasa berada di Kelantan.Mungkin cuaca di sana tidak mengizinkan dn mungkin juga kesukaran berjalan membawa dua orang anak saudara bersama. Tapi yang pasti saya rindukan suasana kampung. Dan kampung yang saya rindui adalah kampung Kuala Nal kerana kampung itu meninggalkan 1001 memori dalam hidup saya.

Buat akak dan keluarga di Tanah Merah, terima kasih semuanya.Jangan lupa balik Johor raya nanti dan juga buat keluarga angkat di Kuala Krai.Terima kasih banyak-banyak atas layanan yang diberi.Selamat berpuasa untuk semua.

Walau di mana juga kita berada, ibadah puasa itu tetap sama kita jalankan dan pengisiannya juga harus meningkat.Sekali lagi, siapa yang tidak berpuasa tanpa sebab, pengawal peribadai saya akan tembak kalian.hahaha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails