Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 29, 2009

Sayang selalu buat Kimi

Hari ni genap usia Ammar Hakimi@Kimi 4 tahun. Pakchu doakan yang baik2 saja untuk kamu. Lagi beberapa hari Kimi dah nak masuk taska islam. Harap2 tak banyak ragam dan Kimi tahu untuk duduk diam seperti kawan-kawan lain. Yang pakchu risaukan, takut cikgu-cikgu Kimi penat dengan keletah Kimi yang hyper active tu.

Sejak pakchu dah kerja, rasanya masa pakchu untuk anak-anak pakchu yang ada di Johor Bahru ni makin berkurangan. Apatah lagi anak-anak pakchu yang ada di Indonesia, Shah Alam dan di Kelantan. Alahai....

Buat Kimi, semoga menjadi anak dan cucu yang soleh, abang long yang baik untuk adik-adik dan menjadi pelajar yang cemerlang dalam taska dan peringat seterusnya. Kalau arwah bapa (kimi pun panggil bapa pada arwah atuknya) ada, pasti bapa juga bangga kerana hajat untuk menyekolahkan Kimi di taska Islam nampaknya berhasil.

Harap-harap cikgu-cikgu di taska faham tiap bicara Kimi sepertimana yang pakchu faham walaupun Kimi masih pelat dan jangan lupa cikgu dah pesan, kalau pergi sekolah, jangan lupa pakai ‘spender’ sebab cikgu takut terzip ‘anu’ Kimi bila buang air kecil nanti. hahaha

Kimi, pakchu sayang kamu sepertimana anak-anak pakchu yang lain juga. Semoga ulangtahun kelahiran Kimi yang ke 4 tahun menjanjikan keberkatan dalam kehidupan semua.

Hadiah pun pakchu tak beli lagi..Kimi nak apa?



Sunday, December 27, 2009

Notis tak update blog.Ambil perhatian!

Salam.

Kepada semua,

Maaf kiranya sudah lama saya tidak menziarahi teratak kalian. Saya juga tidak mempunyai masa untuk mengupdate blog buat masa ini. Mungkin perancangan masa saya yang tidak teratur sehinggakan tiada kesempatan masa.

Di kesempatan ini, ingin saya ucapkan tahniah buat adik angkat saya yang berada di Kelantan, Muhammad Irfan bin Mougut yang memperolehi 8A 1B dan Kak Long (anak Kak Asyiq) yang memperolehi 8A dalam PMR baru-baru ini. Saya tahu dia kecewa kerana B yang diperolehi adalah untu subjek sains. Jangan kecewa! banyak masa lagi untuk kamu menggilap kejayaan pada masa akan datang!

Lain masa saya update panjang-panjang untuk lepaskan gian ye. Sayang semuanya.

Regards,
AieBahri

Thursday, December 17, 2009

Harapan sempena hijrah

Semoga Allah jadikan pagimucahaya, zuhurmu gembira, asarmu seronok, maghribmu keampunan dan isyakmu kebahagiaan serta doamu tidak ditolak dan diluaskan rezekimu serta ianya tidak diambil semula. Dan dibuka padamu pintu syurga tanpa sempadan.

Lahirnya manusia disambut azan. Matinya diiringi solat. Antara azan dan solat alangkah singkatnya hidup ini.

SALAM MAAL HIJRAH 1431 H

Monday, December 14, 2009

Membina masjid tidak semudah membina pelamin yang indah dan gah

Ryia Illani dan suami Mohd Hadzli

Siti Norlina dan suami, Syazwan Agus

Ucapan ringkas dari saya :
Semoga masjid yang dibina akan berkekalan selamanya. Moga yang baik2 untuk kalian. Hidup berpasangan kena ada tolak dan ansur, kurang dan lebih, manis dan masam. Baru akan rasa indahnya rumahtangga.

Selamat menjalani kehidupan sebagai "SURI" dan "SURA" rumahtangga.
Tahniah!

:: suka ke majlis kahwin kawan2 untk meraikan hari bahagian mereka.Sambil2 boleh ambil semngat dan aura pengantin..=)

Sunday, December 06, 2009

Jangan mengalah

Terlebih dahulu saya nak ucapkan tahniah buat adik-adik saya yang berjaya dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah baru-baru ini. Walaupun rasanya dah terlambat tapi saya tetap ingin ucapkan sekalung tahniah buat adik-adik saya.

Entri ini saya tujukan buat adik-adik saya. Kak Ngah di Kelantan yang berjaya memperolehi 5A dalam UPSR. Kak Ngah iaitu anak kepada Kak Asyiq dan Aina anak kepada Kak As yang kedua-duanya memperolehi 4A 1B. Tahniah dari saya.

Buat kak Ngah yang berada di Kelantan, abang Aie ucapkan tahniah kepada kak Ngah. Bila kak Ngah telefon menyatakan kak Ngah dapat 5A dan hanya 2 calon sahaja yang mendapat 5A di sekolah Kak Ngah, abang Aie rasa gembira sangat kerana abang Aie faham perasaan kak Ngah bilamana dugaan semasa kak Ngah di darjah 6 sangat mencabar.

Buat kak Ngah dan Kak Aina. Ini bukan titik pengakhir buat kalian berdua adikku. Masa perjalanan kalian panjang lagi untuk menggilap kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan. Kalian bukanlah tidak berjaya tetapi kalian diuji oleh Allah dengan cara ini. Allah tidak akan menguji seseorang hambanya melainkan hambanya mampu menerima ujian tersebut dan kalian beruntung kerana dalam usia sebegini, kalian telah diduga dengan ujian ini.

Bilamana saya membaca entri dari Kak Asyiq menyatakan mata kak Ngah merah, saya mula teringat kejadian yang berlaku pada 12 tahun lalu bilamana saya juga mengalami keputusan yang sama seperti Kak Ngah dan Aina. Seakan tidak percaya. Adik-adikku, ini baru titik permulaan buat kalian untu menggilap masa hadapan kalian. Percayalah, Allah sentiasa membuka rezeki untuk hamba-hambanya yang sentiasa berusaha dan bersabar. Jadikan pengalaman ini sebagai dorongan untuk masa yang akan datang.

Kejayaan bukan sekali, kegagalan juga bukan sekali. Ianya pasti akan kita alami berkali-kali. Sama seperti seorang bayi, ia tidak akan terus berlari, tetapi ia akan jatuh, bangun dan jatuh semula untuk pandai berlari.

Adik-adikku, kuatkan semangat dan jangan terus mengalah! Pastikan kita akan menjadi bintang yang paling bersinar sekali pada suatu masa nanti walaupun kita pernah dilindungi di balik bulan suatu masa lalu.

Sunday, November 22, 2009

Setiap fasa ada susah dan senangnya

Rasanya sudah terlalu lama saya tidak mengupdate sebarang entri. Sampaikan dah bersawang rasanya. Bukannya tiada kisah untuk saya kongsikan bersama tapi mungkin sejak kebelakangan ini saya dilanda dengan kesuntukan masa untuk menghasilkan entri..(ceh...macam sibuk sangat je kan..)

Alhamdulillah buat masa ini, saya baru sahaja menempuhi satu fasa yang baru iaitu fasa kerjaya. Fasa yang perlu untuk saya memikirkan segala bagai perkara termasuklah dari segi pengurusan kewangan untuk keluarga, masa untuk diri sendiri dan masa untuk memberi komitmen yang terbaik kepada pihak majikan dan orang di sekeliling. Semuanya perlu difikirkan untuk kebaikan diri sendiri juga.

Pada mulanya pening juga kepala memikirkan untuk menentukan halatuju bidang kerjaya yang hendak dipilih. Maksudnya saya pening untuk memilih antara bekerja dengan firma kontraktor atau firma perunding ukur bahan. Mujur saya mendapat nasihat dari abang saya yang banyak memberi garis panduan di mana mengikut pendapatnya

Pemilihan berikut mungkin boleh menjadi justifikasi dan garis panduan :

1. Big salary + Bonus + Allowance
2. Working Environment
3. Distance from home (kos minyak)
4. Performance of company
5. etc.

Contractor or Consultant not become a problem as long as scope of work in Ur area. T.Q

Ini adalah garis panduan yang diberikan oleh abang saya. Dan saya rasa, faktor pemilihan saya adalah tertumpu kepada semua bahagian. Kadang-kadang kita perlu menjadi seorang yang tamak kerana perkara sebegini adalah penentu untuk kehidupan kita masa akan datang. Bukannya kita hendak bekerja sehari dua tetapi ia melibatkan sepanjang hayat kita untuk memberi khidmat kepada orang lain. Sebab itu saya katakan kadang-kadang kita juga perlu menjadi seorang yang tamak.

Apa yang saya harapkan, saya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja yang baik, anak yang baik dan kawan yang baik dalam lingkungan kakitangan di pejabat dan di luar pejabat. Alhamdulillah setakat ini banyak yang memberi tunjuk ajar. Terima kasih. Saya juga tidak kisah ada yang sering mengatakan tempat lain kita boleh mendapat tawaran yang lebih tinggi tetapi itu bukan keutamaan saya sebabnya bagi saya, selagi kita boleh belajar sesuatu yang berharga di tempat kerja, selagi itu kita dapat meningkatkan nilai dalam diri kita. Gaji tinggi tetapi jika tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja yang baik juga adalah satu masalah bagi saya sebabnya kerja yang halal juga adalah sebahagian daripada ibadah.

Bukan senang untuk berada di kedudukan yang selesa. Saya selalu mengingatkan diri sendiri bahawa untuk berada di kedudukan yang selesa, kita perlu bekerja keras. Bukan hanya datang kerja, sign in dan tiba masa balik kita dah bersedia untuk sign out di punch card.Bekerjalah selagi kita boleh meningkatkan produktiviti yang baik untuk dihasilkan kepada semua orang.


Thursday, November 12, 2009

Pakcik, nak mengata kena ada asas!

Gambar contoh diambil di sini

Memandangkan malam ini malam Jumaat, rasanya lebih elok kiranya saya dapat berkongsi pengalaman dan ilmu agama ini bersama kalian. Bukan niat untuk membuka pekung dalam keluarga sendiri tapi jadikan ianya sebagai pengajaran supaya kita yang berada di dunia senang dan orang yang telah meninggalkan kita juga berasa aman di sana.

Setiap hujung minggu, saya dan emak pasti akan menziarahi pusara ayahanda. Kalau tidak sempat membacakan yasin, kami hanya membacakan al-fatihah dan membersihkan apa yang patut di kawasan pusara ayahanda. Setiap kali selepas menziarahi pusara, saya akan singgah sebentar di rumah pakcik kerana kawasan perumahannya berhampiran dengan pusara ayahanda. Biasanya, kalau singgah di rumah pakcik, kami lebih bercerita mengenai hal-hal keluarga sahaja. Terima kasih kepada pakcik (abang kepada emak) yang sentiasa sudi berkongsi pendapat dengan saya.

Dalam kerancakan berbual, tiba-tiba pakcik saya bertanya, berapa kos untuk membuat pusara ayahanda. Saya menjawab sekian dan sekian. Memang saya akui, saya yang memilih bentuk pusara itu setelah berbincang dengan emak dan adik beradik lain serta setelah bertanya pendapat kepada seorang ustaz yang mengajar saya sewaktu di kampus. Pusara ayahanda hanya ditutupi dengan rumput jenis carpet dan dua nisan sebagai pengenalan pusara arwah. Bentuknya memang cukup ringkas kerana itu yang dipersetujui setelah kata sepakat antara adik beradik diambil.

Alangkah terkejutnya apabila tiba-tiba pakcik saya membuka cerita yang menyatakan pakcik (adik arwah bapa) berjumpa dengannya dan menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila kubur arwah hanya dilakukan sebegitu. Dia seolah-olah marah kerana ada mengungkit tentang duit pembahagian antara adik beradik arwah, hanya dilakukan sebegitu rupa sahaja! Ya Allah, saya mula berfikir apakah tindakan saya salah?. Saya ambil tindakan untuk diam dahulu. Malas untuk membantah kerana bimbang dikata saya mula menunjukkan sikap kurang ajar kerana dia pernah mengherdik sepupu saya yang lain berkenaan pelajaran juga.

Saya ambil teguran itu sebagai positif. Untuk menjelaskan kepadanya, saya perlu ambil masa juga sebab dia (pakcik) seorang yang baran juga. Bimbang perkara lain pula terjadi. Katanya kepada pakcik saya yang satu lagi, kenapa tidak dibuat bertingkat dan pasang jubin atau marmar di pusara arwah ayahanda saya. Tak mungkin perkara itu saya lakukan! Sebabnya akan lebih menyeksakan arwah pula. Fikir saya, kalau dibina dari konkrit, tidak mungkin konkrit itu akan mendoakan arwah tapi ustaz saya kata, kalau kita membina dengan menanam tumbuhan di pusara, InsyaAllah, tumbuhan hidup itu sentiasa berzikir untu arwah. Mungkin memang betul, jika pusara dibina seperti gambar di atas itu, akan lebih cantik dan nampak gah tetapi lebih elok lagi jika duit yang ada kita gunakan untu perkara kebaikan yang lain. Itu lebih berfaedah.

Marah dan teguran pakcik saya tidak berasas langsung. Jika dia seorang yang memahami situasi dan hukum untuk arwah, dia tidak akan berkata sebegitu kerana

Larangan dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam:

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

“Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.”

(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Dan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga..

Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah subhanahuwata’ala.

Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi.

Sudah jelas dinyatakan membina kubur dari bahan marmar adalah haram hukumnya. Saya perlu menjelaskan kepadanya cuma saya tunggu dari pertanyaannya sendiri kepada saya. Bukan bererti ita yang muda tidak boleh menegur yang tua, asalkan teguran itu ada asas dan bukti yang kukuh. Sebabnya ini semuanya melibatkan persoalan berkaitan hukum.

Gambar penghargaan di sini

Tidak penting kubur itu cantik atau tidak asalkan amalan kita di dunia sentiasa "cantik" untuk kita bawa bekalan di alam sana. Jika amalan kita "cantik", insyaAllah kubur kita juga akan kelihatan serinya. Jika tidak boleh menerima hakikat bahawa bina kubur seperti dua gambar di atas adalah haram, terpulanglah pakcik. Rumah sudah kata pergi, kubur dah pun memangil-manggil come on bebeh..

Wallahu'alam

Tuesday, November 10, 2009

Tak tepati janji juga dikira menipu bukan?

Baru-baru ini semua blogger hangat menceritakan berkenaan seorang teman blog yang menipu kami hidup-hidup. Mungkin semuanya berasa kecewa dengan sikapnya. Saya akui, blognya memang saya akan kunjungi bilamana ada entri terbaru kerana entrinya begitu terkesan sekali. Saya tak nak ulas lebih lanjut tentang perkara itu sebab rasanya tak perlu selagi tiada penjelasan darinya walapun bukti-bukti yang kukuh telah diperolehi.

Cuma saya nak ingatkan kepada blogger2 lain, kita jangan mudah untuk mempercayai orang lain sebabnya boleh jadi blogger yang sedia ada juga menipu. Sebab apa saya kata begitu? Sebab saya juga alami..walaupun tidak menipu identitinya tapi kalau tidak menepati janji juga dikira menipu juga bukan?

Saya pernah memasuki pertandingan yang ada di kalangan blogger adakan dengan tujuan untuk memeriahkan blognya. Seingat saya, saya pernah memasuki tiga contest yang diadakan oleh tiga orang blogger yang berlainan. Janjinya untuk memberi hadiah hanyalah sia-sia sahaja. Bukan hadiah yang saya harapkan..kadang-kadang saya memasuki contest tersebut hanyalah sekadar suka-suka dan untuk memeriahan blog mereka tetapi jika tidak mampu untuk memberi sebarang ganjaran, jangan berjanji dengan peserta yang memasuki contest. Sebab jika sudah berjanji tapi tidak ditunaikan juga merupakan satu perbuatan yang menipu.Saya tak pasti ada blogger yang lain menghadapi situasi yang sama macam saya atau tidak cuma sedikit terkilan bila mereka tidak menepati janji. Walaupun sekali niat untuk menaikkan rating blog anda, jangan sampai orang lain anda tipu untuk kepentingan diri anda.

Dalam dunia yang serba canggih ini, apa-apa boleh terjadi..kita sebagai manusia yang waras, bertindaklah mengikut akal, menilailah orang dari semua aspek, jangan menilai dari satu sudut sahaja. Kita tak ke mana. Bukan di sini tempat kita sebenarnya..tempat kita sudah sedia menanti di alam akhirat. Cuma kita perlu bersedia sahaja. Siapa kita sebenarnya sudah dinilai oleh dua malaikat yang menjaga ita kiri dan kanan.

Hidup dengan jadi diri sendiri adalah lebih indah lagi. Saya tak marah kepada sesiapa cuma sedikit kecewa dan terkilan sahaja.

Friday, November 06, 2009

Love is F.L.O.W.E.R

Sejak kebelakangan ini, saya asyik memikirkan apa sebenarnya makna Love atau Cinta. Bukan bermakna saya dilamun cinta cuma entah mengapa fikiran saya sering mempersoalkan anugerah cinta ini.Mungkin semua orang ada pandangan yang berbeza mengenai maksud ini. Tapi bagi saya Cinta boleh diibaratkan seperti bunga. Ianya harus sentiasa dibajai, disiram dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang supaya ianya sentiasa harum mewangi..


Dalam minggu yang lepas, saya mendapat mesej dari seseorang yang mendoakan supaya saya mati cepat agar sesiapa sahaja tidak boleh memiliki dan mendampingi saya. Saya rasa pengirim sms itu seorang yang penakut kerana tidak menggunakan nombor telefon bimbitnya sendiri. Alahai...saya bukanlah seorang yang bodoh dan saya bertindak untuk mendapat bantuan sahabat saya untuk mengenalpasti siapa pengirimnya.Akhirnya saya tahu juga! Tu la...kan senang pakai no sendiri.

Saya tak faham apa yang dikehendaki olehnya. Setahu saya, saya berkawan dengan semua orang cuma cara layanan saya mungkin ada yang terkurang. Tapi bila saya mendapat mesej sedemikian, saya jadi terfikir sebentar kerana selepas saya mendapat tahu siapa pengirimnya, saya cuba menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Rupanya, ada perasaan yang tak sempat diluahkan kepada saya. Ermm..no komen!

Itulah..perasaan yang ada kalau tidak diluahkan, ianya tidak akan membibitkan perasaan cinta antara satu sama lain. Walau kita mengimpikan puteri atau putera raja tetapi tidak disampaikan, maka hajat kita tidak akan kesampaian sampai bila-bila. Cinta! Ya, ianya seperti bunga...untuk memastikan ianya sentiasa mekar dan mewangi, ianya harus sentiasa dibajai, disiram, dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang. Tanpa elemen itu, cinta akan layu ibarat bunga juga...

Perasaan cinta tak boleh dipaksa-paksa. Oleh itu, jangan paksa saya!

Tuesday, November 03, 2009

Dedikasi


Benih kalau berasal dari baka terbaik akan bercambah walau dicampak ke mana sekalipun........

Untuk bonda dan ayahanda
Yang telah menyemai benih ketaqwaan
Ditujukan khas buat ibunda yang disayangi Pn.Hajah Hindun Binti Mimfari, ayahanda yang dihormati dan disanjungi, Allahyarham Hj. Maskur Bin Atmom,
Jasa kalian berdua sentiasa diabadikan di sanubari...

Abang Masdun Hidayat dan kak Wariya, abang Saifuddin dan kak Mahani, kak Rizkiyah dan abang Redzuan, kak Hartati dan abang Zulfikri serta adik Siti Halimah..
Doa dan semangat kalian menjadi tunjang kejayaan ini

Anak-anak buah pakchu, Kamaruzzaman, Nuzula Auliaurrahmah, Arif Hidayatullah, Nur Afiqah, Ammar Hakimi, Muhammad Aqil Haziq,Nur Afifah Mahirah, Amsyar Harith, Amzar Hasif dan Akif Hadif
Kasih sayang kalian tetap tak berbelah bahagi....

Buat rakan-rakan yang sudi berkongsi suka dan duka..
Man,Cra,Mansor,Dya,Zairol,Tirah,Mira,As,Anis,
Chah,Apis,Is,Q,Choq,Ifney dan rakan-rakan yang lain..
Moga ikatan persahabatan ini akan kekal selamanya.

Buat "sahabat" yang pernah menyayangi dan mengkritik saya, Terima kasih segalanya...

Friday, October 30, 2009

Sungguh2 saya sayang wanita ini.Dia adalah yang terbaik!

Saya akui memang saya anak emak.Peduli apa orang nak cakap macam tu.Memang betul saya anak emak sebab emak yang melahirkan saya. Kawan-kawan di kampus juga sudah mengetahi hakikat itu.MEMANG SAYA ANAK EMAK!

Sudah lama ingin saya rasa kongsi cerita kasih sayang ini bersama kalian. Cuma sekarang baru ada kesempatan. Kesibukan saya di kampus sudah pun reda. Exam sudah habis, tesis juga sudah dijilid. Dan ini adalah semuanya hasil sokongan dan dorongan dari seorang wanita. Wanita yang amat saya sayangi sejak azali lagi.

Wanita yang sanggup berkorban apa sahaja untuk saya dan anak-anak yang lain.Masih teringat lagi sewaktu ingin menghadapi exam, emak pasti menemankan saya study di tengah malam. Di kala saya menyiapkan tesis, emak juga sanggup tidur-tidur ayam di sebelah saya semata-mata ingin memastikan saya menyiapkan tesis dengan jayanya.

Hari ini, dari pagi saya mengadu sakit kepala kepada emak. Pulang dari kampus atas urusan yang tidak boleh dielakkan, emak menghidangkan saya dengan makan malam. Usai makan malam, emak memicit kepala saya. Dan tika entri ini dibuat, emak menghidangkan saya dengan pelam cicah bersama petis.

Kalau hendak dicerita, memang tiada cukupnya untuk saya senaraikan kebaikan wanita ini. Mungkin keputusan saya untuk duduk bersama emak dan terpaksa berulang alik ke kampus sejauh 40 lebih kilometer adalah amat berbaloi. Walau saya tidak dapat menghabiskan masa untu rakan-rakan di kampus, sekurang-kurangnya wanita ini sentiasa berada di depan mata saya.

Sungguh!sayang saya tiada berbelah bahagi kepadanya. Hanya Allah sahaja yang tahu. Seluas air lautan harta pun tidak dapat membalasnya. Dan saya menjadi semakin menggila untuk menggembirakan hati wanita ini selamanya.

Semoga keberkatan darinya sentiasa mengiringi saya untuk memulakan alam pekerjaan.Amin Ya Rabb..

Monday, October 26, 2009

Doakan saya...

Kalau diberi pilihan untuk bahagia atau sengsara, selesa atau tidak selesa..pasti kita akan pilih yang bahagia dan selesa.Sebab apa?sebab itu adalah fitrah manusia.Inginkan kesempurnaan dalam hidup. Tetapi untuk berada pada tahap yang selesa,kita mesti harungi suasana yang tidak selesa terlebih dahulu.Benar..memang ada manusia yang lahir terus berada dalam kehidupan selesa dan bahagia tapi dalam kelompok itu berapa ramai juga yang mengucapkan syukur kepada yang Maha Esa?

Tinggal dua hari. Ya! cuma tinggal dua hari sahaja lagi untuk saya menyempurnakan pengajian saya. Selepas itu, saya akan menempuhi satu lagi fasa baru. Itu pun jika saya ada rezeki sebabnya saya belum menghantar sebarang resume di mana-mana firma. Minggu ini saya hanya akan menduduki dua peperiksaan sahaja iaitu pada hari Selasa dan hari Rabu.Moga-moga Allah berikan saya kekuatan, kesihatan dan ilham yang baik semasa menjawab dua kertas tersebut.Jika dibandingkan pada minggu lepas yang penuh dengan kerisauan, saya harap pada minggu ini saya dapat hadapi dengan tenang. Saya masih belum berkesempatan lagi berkongsi cerita berkenaan dengan pembentangan tesis saya pada minggu lepas. Alhamdulillah! itu sahaja yang saya mampu ucapkan semasa pembentangan itu.

Apa yang saya harap, ini bukanlah titik akhir saya untuk menamatkan proses pembelajaran kerana proses pembelajaran bukan hanya berlaku semasa kita menuntut tetapi skopnya lebih meluas lagi di mana proses pembelajaran berlaku di mana-mana sahaja. Jika saya ditadirkan untuk mendapat pekerjaan yang lebih awal, InsyaAllah saya sudah bersiap sedia untuk ke arah itu. Saya bersedia untuk memberi khidmat yang diperlukan cuma mungkin saya perlu mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan.

Semoga saya dan rakan-rakan lain dapat menduduki peperisaan dengan tenang. Semoga apa yang kita pelajari dari tenaga pengajar di kampus, dapat kita aplikasikan untuk hari-hari yang mendatang. Cuma perlu ingat, bukan semua kerja kita lakukan berdasarkan "buku rujukan" sahaja kerana pengalaman juga penting untuk dijadikan sebagai medium pembelajaran.

Semoga berjaya untuk semua! Untuk selesa, kita harus tempuhi zon yang tidak selesa ini walau sesukar mana sekalipun.

Monday, October 19, 2009

Selamat Ulangtahun Blog! Happy Birthday to Afiqah!

Happy Birthday yang ke 5 tahun buat Nuf Afiqah Saifuddin. Semoga menjadi Kak Long yang baik untuk adik-adik.

Ucapan ulangtahun juga buat blog ini :

Selamat Ulangtahun yang pertama buat blog kesayangan. (",)

Saturday, October 17, 2009

Kaitan waktu gempa bumi dengan Al-Quran


Semoga apa yg terjadi menjadikan iktibar untuk kita terus beramal kepada ALLAH & tidak leka…bumi makin tenat....dh uzur...Fikir2kanlah...& Selamat Beramal..Wa’allhu’alam..

Gempa di Padang jam 17.16, gempa susulan 17.58 , esoknya gempa di Jambi jam 8.52 . Cuba lihat Al-Quran! demikian bunyi pesan singkat yang beredar. Siapa pun yang membuka Al-Quran dengan tuntunan pesan singkat tersebut akan merasa kecil di hadapan Allah Swt. Demikian ayatayat Allah Swt tersebut:

17.16 (QS. Al Israa? ayat 16): ?Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.?

17.58 (QS. Al Israa? ayat 58): ? Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).?

8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir?aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.?

Tiga ayat Allah Swt di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa lalu di Sumatera, berbicara mengenai azab Allah berupa kehancuran dan kematian, dan kaitannya dengan hidup bermewah-mewah dan kedurhakaan, dan juga dengan keadaan Firaun dan pengikut-pengikutnya. Ini tentu sangat menarik.

sumber : eramuslim

Sunday, October 11, 2009

Happy Birthday My Dear..


Selamat ulangTahun buat Adinda tercinta Siti Halimah.
Moga dikurniakan kesihatan yang baik untuk bertebaran mencari keredhaan Allah Taala..

Tuesday, September 29, 2009

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri buat semua. Maaf sejak kebelakangan ini saya dilanda kesibukan yang amat untuk mengupdate blog menjelangnya hujung bulan oktober akan datang ini. Doakan semuanyaberjalan dengan lancar. Saya tinggalkan kalian dengan suasana raya bersama Anuar dan Ellina =)

Friday, September 11, 2009

Kenangan Ramadhan

Tanpa kita sedari, tinggal beberapa hari sahaja Ramadhan akan meninggalkan kita.Bulan yang penuh berkat ini belum tentu kita dapat nikmati dan rasai pada masa akan datang. Belum tentu juga kita dapat mencipta kenangan di bulan ini.Ya, bercerita mengenai kenangan di bulan Ramadhan, aku juga mempunyai kenangan. Kenangan yang membuatkan aku sebak sendirian bila mengingatinya.

Melalui Ramadhan kali ini membuatkan aku sebak. Tidak seperti Ramadhan yang lalu..kali ini kami sekeluarga menyambut Ramadhan tanpa seorang bapa tercinta untuk sama-sama menjalani kewajipan rukun yang ketiga ini.Sungguh! aku jadi pilu bila mengingatkan kenangan lalu..Kami bersahur, berbuka dan menjalankan solat terawih bersama.Aku terlalu rindukan kenangan itu bila mana aku membonceng motor bersama bapa untuk menunaikan solat terawih yang kadang kala diimamkan oleh golongan muda belasan tahun. Selesai terawih pasti bapak meluahkan perasaan bangga terhadap imam muda tersebut. Sekarang, aku menunaikan solat terawih hanya bersendirian. Kadang-kadang pergi bersama emak dan kadang-kadang aku membawa Hakimi.Sekurang-kurangnya si kecil itu sudah ada pendedahan awal di masjid.

Ketiadaan bapa membuatkan aku lebih tabah untuk menghadapi hari-hari mendatang. Ajaran bapa selama ini menjadi panduan untuk aku tempuhi sebagai seorang anak lelaki dalam keluarga dan juga sebagai ketua keluarga suatu hari nanti. Menjelang Ramadhan terakhir, aku masih ingat bagaimana bapa mengajarku untuk urusan membayar zakat. Kebiasaannya bapa tidak membayar zakat di masjid tetapi bapa lebih suka untuk mencari golongan fakr miskin dan zakat diberikan kepada mereka.

Menjelang Aidilfitri di akhir-akhir Ramadhan ini juga membuatkan aku teringat kenangan apabila bapa sendiri yang memotong rambutku supaya kelihatan segak di pagi raya. Semangat bapa menganyam ketupat setiap tahun untuk menjamu anak-anak yang pulang ke kampung juga masih kuingat.Apatah lagi senyum riang bapa apabila menyambut kepulangan cucu-cucunya pulang ke kampung.

Kenangan ketika usai menunaikan terawih bersama.Adik, arwah bapa, aku dan emak.

Sungguh! walaupun kenangan itu hanya tinggal kenangan, tapi aku yakin kenangan itulah yang membuatkan aku semakin kuat dan pandai berdikari untuk hari-hari yang mendatang.

Hari ini (malam tadi), seorang lagi bapa saudaraku pergi menyahut seruah Ilahi.Perginya takkan kembali lagi sepertimana perginya bapaku buat selama-lamanya dan pasti Aidilfitri tahun ini mencipta lagi satu kenangan yang sungguh memilukan. Sungguh sebak apabila melihat jenazah dimasukkan ke dalam lubang kubur yang pastinya kita juga akan ke sana. Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.

Al-fatihah untuk arwah bapa dan pakcik dan mereka-mereka yang telah kembali ke rahmatullah.Seeloknya, Ramadhan terakhir ini kita perbanyakkan amal kerana belum pasti kita akan nikmati suasana Ramadhan pada masa akan datang...

Hanya berkongsi kenangan Ramadhan bersama kalian untuk memeriahkan blog seorang sahabat-Jard.com.

Thursday, September 10, 2009

Tawaran Ramadhan


Jom pakat ramai-ramai mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadhan.Moga-moga kita semua perolehi keberkatannya.

Tuesday, September 08, 2009

Iklan Jawatan Kosong

Berurusan di pejabat fakulti, saya terpandang satu iklan di papan kenyataan. Mudah! Tidak perlu pengalaman. Hanya perlu menjaga solat dan membaca al-Quran. Ada siapa yang berminat?

Kalau la semua iklan jawatan kosong syaratnya sebegini, pasti semua pelajar mengambil serius untuk menunaikan solat dan memasuki kelas mengaji.

Mungkin ada yang tak percaya ini satu iklan yang rasmi sebabnya hanya menggunakan tulisan tangan tetapi ini adalah benar kerana ianya ditulis sendiri oleh pensyarah di fakulti.

Monday, September 07, 2009

Salah saya?Mungkin!

Minggu ini saya perlu bersiap sedia untuk menghantar draft tesis kepada penyelia.Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.Gara-gara memo yang dikeluarkan panel menyatakan pelajar perlu menghantar draft tesis pada 16 September kepada penyelia masing-masing, membuatkan pelajar menjadi kelam kabut. Bila difikirkan semula, ada baiknya juga menghantar awal.Sekurang-kurangnya boleh menikmati suasana raya dengan tenang.

Pengalaman semasa mendapatkan responden kadang-kadang membuatkan saya tersenyum sendirian. Dari penduduk, pemaju sehinggalah perbadanan pengurusan bangunan kediaman pasca tingkat saya temui.Pelbagai ragam dan layanan. Dan salah satu responden yang membuatkan saya teringat apabila saya dilayan oleh seorang staf wanita yang bekerja dengan pihak pemaju.

Saya mengetuk pintu pejabatnya.Sebelum saya ke pejabat tersebut, saya sudah mengkaji latar belakang syarikat tersebut terlebih dahulu di mana organisasinya kebanyakan terdiri dari bangsa cina.

Selepas dibenarkan masuk, saya memberi sapaan 'hello and good morning' dan saya mula speaking dengannya dengan menyatakan tujuan saya datang ke situ. Sapaan saya itu dibalas. Memandangkan raut wajah wanita tersebut seperti cina dan kebetulan dia memakai skirt paras atas lutut dan mengenakan pakaian yang agak seksi, saya memanggilnya dengan panggilan Ms. Ann dan membahasakan diri sebagai 'i' dan 'u' sahaja sebagai pengganti nama diri.

Sedang saya rancak mengajukan soalan kepadanya, tiba-tiba saya ditegur olehnya.

"Dik, kalau nak berurusan, bagilah salam terlebih dahulu.lagipun kita kan orang Islam dan bulan ni kan bulan puasa, panggil saya akak pun takpe, tak perlu guna ganti nama 'i' dan 'u'".

Saya diam dan terkedu.Saya terima tegurannya. Mungkin dia tidak selesa atau biasa dengan penggunaan bahasa seperti itu.Bagi saya, saya dah cukup fomal ketika berurusan dengannya.

Selesai berurusan dengannya, saya terus memandu untuk berjumpa dengan responden yang lain.sepanjang perjalanan, saya memikirkan teguran itu. Adakah saya yang bersalah tidak memberi salam? Jawapannya saya tak pasti sebab melihat penampilannya seperti orang cina, saya tidak memberi salam tetapi saya memberi ucapan selamat pagi sebagai pengganti salam. Tambahan pula nama samarannya seperti orang bukan Islam juga. Rupa-rupanya nama sebenarnya adalah Suzana dan dipanggil Ann.

Fikir saya lagi. Saya tahu iman seseorang tidak boleh diukur melalui perwatakan dan penampilan tetapi kan lebih manis jika kita nak tegur seseorang supaya memberi salam, penampilan kita selari dengan penampilan orang Islam. Baru tampak lebih manis lagi untuk berbicara soal adab memberi salam ketika berurusan.

Apa-apa je la. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada Puan tersebut yang telah memberi kerjasama kepada saya untuk menjayakan kajian saya.

Thursday, September 03, 2009

Agama kita syumul, cuma kita yang malas!

Saya masih ingin berkongsi kisah saya semasa di Kelantan. Kisah yang berlaku semasa saya berada dalam train untuk menuju ke Tanah Merah. Selepas menidurkan seorang anak saudara, (yang seorang lagi mak saya yang tidurkan) saya lepak di bahagian pintu train sambil membaca buku "Di Atas Sejadah Cinta" hasil penulis terkenal iaitu Habiburrahman el-Shirazy. Sengaja saya baca berulang kali kerana saya suka cerita motivasi sebegitu. Sedang asyik saya duduk di bahagian pintu train sambil membaca, saya ditegur seorang lelaki cina.

Dia : U mau turun mana?

Saya : Tanah Merah..u?

Dia : Tumpat

Saya : Balik kampung ke?

Dia : Bukan, saya mahu bawa anak-anak saya sembahyang di sana.

Saya : O..saya ingat u balik kampung cuti sekolah macam ni.

Dia : Kampung saya di JB saja. Saya mahu anak-anak saya minta pada Tuhan.

Saya : Bila balik JB semula?

Dia : Malam esok balik semula.

Saya terfikir. Sedangkan orang yang bukan beragama Islam sanggup dan semangat pergi ke tempat sembahyang mereka semata-mata ingin berjumpa Tuhan mereka, kita yang beragama Islam hendak menunaikan solat di masjid atau surau sebelah rumah pun susah nak lakukan. Padahal Islam itu syumul, Tuhan kita (Allah) ada di mana-mana saja. Bukan susah hendak meminta dan berdoa.Cuma kita saja yang malas lakukan.

Tuesday, September 01, 2009

Berpuasalah walau di mana saja


Berpuasa di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun ini merupakan pengalaman yang manis bagi saya.Lebih-lebih lagi dapat berpuasa bersama keluarga akak di Tanah Merah dan keluarga angkat di Kuala Krai.Bukan saya tak pernah berpuasa di Kelantan tapi semasa belajar di Kelantan, juadah berbuka puasa semuanya dibeli. Tapi kali ini lain..juadah berbuka puasa disediakan bersama-sama.Itu yang menjadikan Ramadhan kali ini lebih nikmat.Apatah lagi buat pertama kali saya melakukan ibadah puasa bersama keluarga angkat di Kuala Krai.

Sebelum tu, walau dah terlewat sehari, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI KEBANGSAAN YANG KE 52. Moga sambutan kemerdekaan pada bulan barakah ini memberi kita impak yang positif untuk sama-sama kita bersyukur ke hadrat Ilahi.

Berbalik semula cerita saya di Kelantan.Satu cerita yang tak seronok untuk dibaca sebenarnya.Tapi memandangkan saya tiada entri terbaru, saya cerita juga pengalaman berpuasa selama lima hari di negeri Cik Wan Siti Kembang itu. Puasa di negeri orang tiada bezanya dengan berpuasa di negeri sendiri.Yang membezakan mungkin suasana berbuka dan juadah berbuka.Di sana, saya boleh jumpa dengan pelbagai jenis kuih.Kadang-kadang jadi malu juga bila adik-adik saya bertanya tentang sesuatu nama jenis kuih.Saya hanya mampu mengangkat bahu menandakan saya tidak kenal kuih-kuih yang dihidangkan itu.Yang saya kenal kuih di Kelantan adalah kuih akok sebab kuih akok ada kenangannya.

Dan kenangan yang paling manis bila saya belajar memasak bersama mama angkat. Perghh..memang seronok bila belajar memasak ikan patin masak gulai tempoyak dan buat kuih sira roti.Siapa kata lelaki tak boleh masuk dapur?Saya fikir zaman sekarang lelaki perlu masuk dapur sebabnya zaman sekarang susah untuk berjumpa dengan perempuan yang pandai memasak lebih-lebih lagi zaman sekarang, perempuan lebih mengejar kerjaya.(Eh..maaf..saya tak kutuk pon kaum hawa cuma nak jelaskan bahawa lelaki perlu juga tahu memasak untuk sama-sama membantu kaum hawa memasak bila berumahtangga nanti.Betul tak?)

Jika di Kelantan, kuih muih tidak menjadi masalah di sana kerana jiran tetangga masih mengamalkan aktiviti bertukar-tukar juadah sesama mereka dan juga aktiviti menjamu jiran tetangga untuk berbuka bersama juga masih diamalkan di sana. Itu yang saya kagum sebabnya selain dapat mengeratkan silaturrahim, ianya juga untuk mendapat keberkatan Ramadhan al-mubarak.


Sungguh! saya teruja sewaktu aktiviti menjamu jiran tetangga untuk berbuka bersama. Cuma yang membuatkan saya terfikir, apabila menunaikan solat terawih di masjid, saf hanya dipenuhi dengan golongan warga emas sahaja.Barangkali anak-anak muda ramai yang merantau di negeri orang.Itu yang saya fikirkan. Seusai menunaikan solat terawih dan moreh bersama jemaah masjid, lain pula yang saya nampak apabila ramai pula anak kampung yang duduk melepak sedang menonoton tv sambil memakan colek di sebuah warung.

Saya tidak berjalan sangat semasa berada di Kelantan.Mungkin cuaca di sana tidak mengizinkan dn mungkin juga kesukaran berjalan membawa dua orang anak saudara bersama. Tapi yang pasti saya rindukan suasana kampung. Dan kampung yang saya rindui adalah kampung Kuala Nal kerana kampung itu meninggalkan 1001 memori dalam hidup saya.

Buat akak dan keluarga di Tanah Merah, terima kasih semuanya.Jangan lupa balik Johor raya nanti dan juga buat keluarga angkat di Kuala Krai.Terima kasih banyak-banyak atas layanan yang diberi.Selamat berpuasa untuk semua.

Walau di mana juga kita berada, ibadah puasa itu tetap sama kita jalankan dan pengisiannya juga harus meningkat.Sekali lagi, siapa yang tidak berpuasa tanpa sebab, pengawal peribadai saya akan tembak kalian.hahaha

Friday, August 28, 2009

Selepas A adalah B, Selepas 2 adalah 3

Setiap perkara ada aturan dan turutannya. Selepas A, adalah B, diikuti dengan C. Begitu juga dengan huruf.Selepas angka 1, barulah 2 dan kemudiannya 3.

Itu adalah lumrah.Yang utama perlu ada baru yang kemudiannya ikut. Sama seperti dalam bulan puasa. Aturan sebegini boleh kita aplikasikan. Kalau kita lihat situasi di bulan Ramadhan. Ramai yang menjalankan ibadah puasa tetapi solat 5 waktu tidak dikerjakan dengan sempurna. Adakah ini mengikut aturan yang betul?

Kalau diikutkan dalam Islam, rukun Islam itu sendiri telah menyusun sesuatu rukun berdasarkan keutamaan iaitu :
  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Menunaikan solat 5 fardhu
  3. Berpuasa di bulan Ramadhan
  4. Menunaikan zakat
  5. Mengerjakan haji (bagi mereka yang mampu)

Jadinya, apa guna berpuasa cukup sebulan di bulan Ramadhan, tetapi rukun yang ke 2 kita tidak lakukan sedangkan rukun yang kedua itu adalah lebih aula.

Saya sertakan contoh yang sangat mudah.
Kita menunaikan solat tetapi tidak melakukan niat lantas terus mengangkat takbiratul ihram. Kesannya solat kita tidak sempurna sebabnya perkara utama kita tak lakukan tetapi terus melakukan perlakuan yan berikutnya.

Sama juga kesnya seperti menunaikan solat terawikh. Solat terawikh hukumnya sunat tetapi kita lakukan dengan sempurna tetapi solat lima waktu kita abaikan walhal hukumnya wajib.Contoh yang biasa adalah selepas waktu bersahur. Selepas bersahur, pastinya ada yang terus masuk tidur tanpa menunggu azan subuh dan melakukan solat fardhu subuh. Kesannya solat wajib itu diabaikan.

Kalau diaplikasikan dalam apa juga perkara, perkara utama perlu dilakukan terlebih dahulu supaya perkara berikutnya juga sempurna. Takkan sempurnanya susunan abjad jika tiada huruf A dan takkan sempurna juga susunan angka jika tidak dimulai dengan angka 1.Yang utama tetap utama. Wallahualam.

"Ya Allah, ampuni aku kerana kadang-kadang aku leka dengan perkara yang lebih utama.."

Wednesday, August 26, 2009

Tuesday, August 25, 2009

Ikatan Silaturrahim - Keluarga adalah segalanya.

Ujian pertengahan semester petang tadi dari jam 4.30 sehingga 5.30 memaksa saya untuk menumpang bermalam di bilik seorang rakan. Tambahan pula, saya malas untuk berhadapan dengan kesesakan lalulintas pada waktu petang sebegini Mujur semasa bersalaman dengan emak, saya telah memaklumkan kepada emak bahawa kemungkinan saya tidak berbuka bersamanya. Bagi memastikan emak tidak berasa sunyi, saya menghantar emak ke rumah kakak. Di situ sekurang-kurangnya ada cucu-cucu emak yang boleh membuatkan emak tersenyum.

Berbuka dengan rakan-rakan membuatkan saya berfikir. Mungkin beginilah hidup sebagai anak rantau. Di rumah, walaupun lauk yang dihidangkan tidaklah banyak, tetapi kemanisan berbuka bersama keluarga pasti ada. Itu pendapat saya. Rakan yang baru pulang dari kampung menyambut Ramadhan bersama keluarganya juga berpendapat sebegitu.

Juadah bersama rakan-rakan.alahai..inilah juadah berbuka puasa orang bujang..

Saya yakin, kalau bukan atas tuntutan mencari ilmu atau kerjaya, pasti semuanya ingin meluangkan masa bersama keluarga ketika hadirnya Ramadhan al-Mubarak. Di situlah ikatan silaturrahim akan menjadi lebih kuat.

Esok hari, saya akan menghantar emak ke Kelantan untuk bertemu anak-anak dan cucunya yang lain. Biar sesibuk mana pun, urusan untuk bertemu keluarga perlu diatur. Saya pasti, dengan cara membawa emak berjumpa anak-anak yang lain, sekurang-kurangnya linangan air mata ketika sambutan Ramadhan tanpa suami di sisi dapat dikurangkan.

Untukmu arwah bapa, tahun lepas adalah Ramadhan terakhir buatmu.Semoga tahun ini, kami dapat meneruskan amalan tadarus walau kami tak pasti adakah ini Ramadhan terakhir buat kami..Wallahualam.

Monday, August 24, 2009

Bulan Untuk Bertaubat!

Selamat datang Bulan Ramadhan.Bulan mulia yang menjadi penghulu segala bulan.Walaupun terlewat mengucapkan selamat datang bulan Ramadhan, ianya bukan masalah bagi saya. Oh ya, hampir lupa untuk menggantung kad yang diberi oleh kak As sempena kedatangan bulan yang mulia ini.Terima kasih kak.


Dua-dua saya ambil..hahaha..

Kita bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menyambung segala ibadah di bulan Syaaban lalu pada Ramadahan ini.Sesungguhnya kedatangan Ramadhan ini memberi kita peluang untuk melakukan segala kebaikan.Allah telah menjanjikan pelbagai nikmat dan balasan pahala di bulan ini.

Di negara jiran kita iaitu Indonesia, kedatangan bulan Ramadhan disambut bagaikan menyambut kedatangan pesta besar oleh rakyatnya yang beragama Islam.Sebulan sebelum kedatangan bulan mulia ini, mereka sudah memasang sepanduk sana sini sebagai melahirkan betapa tidak sabarnya mereka untuk menunaikan ibadah puasa.Malahan satu sepanduk berjaya menarik perhatian seorang rakan saya yang belajar di sana yang baru pulang dari negara jiran itu untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga di sini.

Menurut rakan saya itu, pelbagai kata-kata menarik telah digantungkan di sana-sini.Suasana itu nampak sungguh meriah, dan satu sepanduk yang berbunyi "Bulan Untuk Bertaubat!" benar-benar menarik perhatiannya.Keadaan ini agak berbeza di negara kita, di sini sebulan sebelum kedatangan Ramadhan, pusat membeli belah kita sudah sibuk mempromosikan jualan mereka untuk menyambut raya.Lagu-lagu hari raya diputarkan di sana-sini.Ini menunjukkan betapa tidak sabarnya kita untuk menyambut raya sedangkan berpuasa pun belum lagi.

Untuk itu, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan memahami sedalam-dalamnya konsep berpuasa ini. Memang tepat pun apabila dikatakan bulan Ramadhan adalah bulan tepat untuk bertaubat tetapi mengzuhudkan diri kita di bulan Ramadhan ini, memberi kita peluang untuk menghayati erti taubat itu sendiri.

Ketika segala jenis syaitan dirantai di bulan ini, maka inilah masanya untuk kita membersihkan dii dan terlepas daripada gangguan itu.Namun kalau kita memahami dengan lebih terperinci, syaitan itu sebenarnya bukanlah penghalang atau musuh sebenar untuk kita melakukan kebaikan atau melawan kehendak diri.Apa yang patut kita sekat adalah nafsu kita sendiri.Inilah 'musuh' utama yang perlu kita perangi sebab ia ada dalam diri kita dan sudah sebati dalam diri kita.Kalau kita mampu menentang kehendak nafsu ini, ibadah kita akan berjalan lancar dan kita akan bebas dari pengaruhnya.

Sejauh mana kita mampu melenyapkan pengaruh nafsu ini, bergantung pada betapa ikhlasnya kita menerima kedatangan Ramadhan ini.Kalau kita berpuasa kerana orang lain berpuasa, atau kita berpuasa hanya untuk selesa menyambut raya, atau sekadar untuk mengelak umpat keji, maka kita fikirlah sendiri, apa yang kita dapat di sebalik lapar dan dahaga kita itu.

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

Dan ada lagi kad yang belum saya gantung..Terima kasih kepada kak Ita. Semoga Ramadhan yang kita tempuhi menjanjikan sinar keimanan dan kebahagiaan buat kita semua.InsyaAllah.

Yang ni pun dua-dua kad saya ambil.Terima kasih atas tanda ingatan.

Jangan mara kepada sesiapa yang masuk rumah saya kena tembak dengan pistol tu. Hanya orang-orang yang tak puasa tanpa sebab je kena tembak.

Friday, August 21, 2009

Tahniah dan terima kasih. Kalian adalah terbaik!

Dua hari yang lepas, saya berjumpa dengan seorang sahabat saya yang saya anggapnya sebagai seorang adik. Niat di hati memang ingin berjumpa dengannya kerana sudah lama kami tidak berjumpa selepas dia telah menamatkan pengajiannya. Sekalung tahniah saya ucapkan kepadanya atas majlis graduasi baru-baru ini. Niat di hati mahu berjumpa ketika langsungnya hari keraiannya sebagai graduan yang telah menggenggam segulung ijazah tetapi atas sebab peribadi, saya tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaannya.

Alahai Chah..maafkan saya kerana tidak dapat hadir pada waktu itu. Sungguh! Saya tidak melupakan kamu sebagai seorang sahabat yang banyak membantu saya. Apatah lagi kehadiran dari bumi kenyalang sepatutnya saya sambut dan raikan kejayaan kamu bersama. Saya cuba mengatur waktu pertemuan untuk berjumpa dengannya. Fikir saya lebih baik saya berjumpa pada hari Khamis kerana pada hari tersebut, dia akan terbang semula ke bumi kenyalang atas tuntutan sebagai pekerja pula..

Dalam kesibukan saya pada hari Rabu untuk berjumpa dengan responden bagi mendapatkan data kajian, saya menerima pesanan kiriman ringkas menyatakan bahawa dia ingin berjumpa di salah satu pusat membeli belah bersama keluarganya. Mujur waktu tersebut tiada lagi janji temu dengan beberapa pihak responden. Saya terus memandu menuju ke tempat yang dijanjikan. Dalam kesesakan lalulintas pada waktu pentang, fikiran saya mula resah apabila memikirkan banyak masa yang dihabiskan oleh sahabat saya dan keluarganya untuk menunggu saya. Berjumpa dengannya ddan keluarganya membuatkan hati saya riang. Perjumpaan yang singkat itu sekurang-kurangnya saya dapat belajar tentang erti sikap saling menghargai antara sahabat.

Kepada chah dan family, terima kasih kerana sudi berjumpa walaupun terpaksa menunggu dalam masa yang agak lama. Terima kasih juga atas ole-ole dari bumi kenyalang..


Kek lapis sarawak dan cenderamata dari bumi kenyalang..

Tahniah dari saya. Anda adalah terbaik! Selamat pulang ke negeri bumi kenyalang..

Sekalung penghargaan terima kasih juga kepada kak maiyah atas award yang diberikan kepada saya.

Mengenali kak Maiyah dalam alam maya ini membuatkan saya sering rasa bertuah. Kesukaran dalam kehidupan yang kak maiyah hadapi membuatkan hati dan perasaan saya berkocak sedih apabila memikirkan dalam dunia ini, tidak semua nikmat akan kita perolehi berkekalan. Kisah-kisah kak maiyah mengingatkan saya kepada seorang kenalan lama saya yang telah lama kami tak bersua tetapi akhirnya saya bertemu kembali dengannya di facebook. Ketabahannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk hadir ke kuliah yang lokasinya jauh dari kampus akhirnya membuahkan kejayaan apabila baru-baru ini, dia berjaya menamatkan pengajiannya. Saya kagum dengannya! sedangkan berjalan kaki ke bilik kuliah saya mengeluh penat, apatah lagi dia yang berkerusi roda. Fikir saya, tentu lagi penat!

Tahniah Ruzimi! Semangat kental dalam diri kamu membuatkan saya semakin semangat untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.

Walau siapa pun kita, kita tetap pandang anak bulan yang sama. Salam Ramadhan!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails